Penyembahan Yang Berkenan Manusia adalah ciptaan Allah yang mempunyai sifat untuk menyembah. Ia lain dari makhluk ciptaan Allah lainnya. Manusia mempunyai perasaan yang sama dengan penciptaNya iaitu mengasihi dan dikasihi. Oleh sebab itu berbakti adalah sebahagian dari erti kehidupan manusia. Adalah tidak mungkin bagi manusia untuk hidup dan tidak menyembah. Seperti halnya manusia perlu makan dan minum setiap hari, demikian juga di dalam hal penyembahan. Manusia boleh menyembah objek yang benar atau juga objek yang salah, walaupun demikian manusia tetap akan menyembah. Berbakti yang benar bergantung kepada pilihan manusia itu sendiri berdasarkan pengetahuan yang ia miliki sesuai dengan kehendak Tuhan. Ada beberapa macam sikap penyembahan yang disebutkan dalam Alkitab dan kita harus melakukan dengan cara yang betul. Macam-macam sikap berbakti dalam Alkitab antara lain: Berbakti dalam kebodohan, Kisah Rasul 17:22-23. Apakah yang dimaksudkan dengan berbakti yang seperti ini? Mereka berbakti kepada Allah yang mereka tidak kenal. Meskipun ibadah ini dilakukan dengan sungguh-sungguh akan tetapi tidak ada objek yang di tuju, maka itu akan menjadi sia-sia sahaja, tidak ada yang mendengar dan menjawab ibadah itu. Walaupun demikian ada sebahagian orang yang melakukan ibadah yang seperti ini. Berbakti yang menuruti keinginan sendiri, Kolose 2:23; Rom 16:17. Apakah maksudnya? Allah telah menetapkan bagaimana cara untuk beribadah kepadaNya tetapi manusia tidak tunduk kepada peraturan-peraturan Allah. Manusia berusaha untuk menukar peraturan itu dengan caranya sendiri supaya kelihatan lebih khidmat, lebih menarik, lebih ramai, dan lain-lain. Walaupun ini dilakukan dengan bersungguh-sungguh, bagi Allah penyembahan yang demikian tetap tidak berkenan kepadaNya. Kebaktian yang menyukakan manusia, Matius 15:9 Tuhan Yesus menegur orang-orang Israel dalam hal peribadatan di mana mereka lebih mementingkan penampilan lahiriah, apa yang dilihat oleh manusia, untuk menyenangkan hati manusia, tidak sepenuhnya melakukan perintah Tuhan, asalkan tidak ditolak oleh manusia. Kebaktian ini sama seperti yang dilakukan oleh orang-orang Parisi iaitu peribadatan yang dilandasi dengan kemunafikan. Menuruti tradisi, Yohanes 4:20. Peribadatan ini tidak dilandasi atas iman kepada perintah-perintah Tuhan dalam peribadatan tetapi lebih kepada mengikuti agama orang-orang tua kita iaitu kalau orang tua kita menyembah Tuhan, maka anak harus menyembah Tuhan, kalau orang tua menyembah berhala, maka anak pun akan menyembah berhala. Dalam contoh ayat di atas tentang perempuan Samaria, yang menyembah di atas gunung oleh kerana nenek moyangnya menyembah di atas gunung. Penyembahan ini tidak berkenan kepada Allah sebab menyembah Allah harus dari keyakinan dan iman masing-masing individu yang sesuai dengan perintah Tuhan. Dalam Roh dan Kebenaran, Yohanes 4:23-24 . Inilah peribadatan yang di kehendaki Allah iaitu orang yang menyembah harus dalam Roh, maksudnya bersungguh-sungguh, tidak ada kepura-puraan atau kemunafikan, dalam kebenaran, Yohanes 17:17. Kebenaran adalah Firman Allah, maka ibadat yang berkenan kepada Allah iaitu bersungguh-sungguh dengan hati yang tulus ingin berbakti serta disertai kebenaran FirmanNya bagaimana berbakti yang benar, maka ibadat itu akan diterima oleh Allah. Bagaimanakah keadaan yang benar dan penyembahan yang diterima di bawah Yohanes 4:23-24 itu? Ada tiga hal yang sangat perlu untuk dipertimbangkan: Pertama: Di dalam berbakti yang benar, objek yang harus kita tuju adalah Allah, sebab hanya Allah saja yang patut untuk di sembah. Ia mendengar segala permohonan kita dan Allah juga bersedia untuk menjawab segala permohonan kita. Kedua: Di dalam motif yang benar iaitu di dalam Roh. Dalam berbakti bukan saja kita membawa tubuh kita untuk hadir dalam berbakti tetapi yang lebih utama ialah bagaimana roh kita (kesungguhan hati) di dalam kebaktian. Banyak orang yang hadir dalam berbakti, duduk bernyanyi, mendengar Firman tetapi hati dan fikirannya tidak terarah pada saat berbakti melainkan fikirannya berada di tempat lain. Inilah yang disebut berbakti tidak di dalam Roh dan banyak orang Kristian yang melakukan kebaktian seperti ini. Ketiga: Di dalam cara yang benar iaitu di dalam kebenaran. Apakah kebenaran? Firman Allah adalah kebenaran, Yohanes 17:17. Maka jikalau kita ingin berbakti dengan cara yang benar sesuai dengan keinginan Allah, tentu saja tidak ada cara lain, selain mengikut arahan-arahan Firman Allah kerana di dalamnya memberi petunjuk cara-cara berbakti sesuai dengan keinginan Allah. Sebab itu ada beberapa perkara yang menghalang penyembahan yang benar. Beberapa hal berikut ini dapat memberi pelajaran bagi kita dalam memperbaiki cara ibadah kita agar lebih baik lagi kepada Allah. A. Munafik, Matius 6:1-2. Seperti orang-orang Parisi, dalam beribadah hendak menunjukkan kepada orang ramai, bahawa ia adalah orang yang sangat soleh, tetapi di hadapan Allah ia sama sekali bukanlah orang beribadat. B. Lebih mementingkan keduniawian, 1 Yohanes 2:15-17. C. Ketidak-disiplin dalam ibadah atau aturan, 1 Korintus 11:7. Dalam beribadah Allah menuntut aturan atau disiplin, sebab tanpa disiplin ibadah itu sendiri akan terganggu, sehingga kepekatan dalam kebaktian sudah tidak ada lagi kerana itu dalam beribadah harus dipersiapkan, anak-anak harus diatur agar tidak mengganggu orang lain dalam peribadatan, para orang tua harus mendampingi anak-anaknya agar tidak mengganggu konsentrasi orang lain. D. Kesiapan tubuh dan roh dalam peribadatan, Rom 12:1-2. Berbakti kepada Tuhan melibatkan dua perkara iaitu tubuh dan roh. Sebab itu setiap orang Kristian wajib mempersembahkan korban yang hidup lagi kudus kepada Allah iaitu tubuh dan roh kerana itulah ibadah yang berkenan kepada Tuhan. | ||

























